Apa yang anda perlu tahu tentang sebut harga takaful?

Posted by Azizi Zulkefli | Posted in Takaful | Posted on 12-11-2010

6

Setiap minggu saya biasanya mendapat 2-3 emel meminta saya menghantar sebut harga takaful kepada mereka. Ada yang menghantar emel secara umum bertanyakan apa pelan yang sesuai dan ada juga yang spesifik meminta pelan-pelan tertentu seperti pelan wanita dan pendidikan. Saya untuk tidak menghampakan akan membalas semua permintaan walaupun pada dasarnya majoriti akan terus tidak memberikan sebarang respon selepas saya menghantar sebut harga permintaan mereka. Ataupun mereka sedang ‘survey’ mana syarikat atau ejen takaful yang boleh berikan perlindungan terbaik kepada mereka.

Cuma kadang-kadang saya tertanya juga adakah mereka faham dengan sebut harga yang saya berikan. Dulu masa sebelum saya menjadi ejen, pengetahuan mengenai insurans atau takaful hampir kosong dan saya hanya mengangguk sahaja apa yang dikatakan oleh ejen-ejen takaful yang pernah dekati saya masa dulu.

MAA Takafulink + Medical Card (RM160 sebulan)

Peserta:
Puan X
Umur Terakhir: 25

Manfaat Kematian: RM100,000.00
Manfaat Hilang Upaya Kekal: RM100,000.00
Manfaat Tambahan:
i) Pelepasan Caruman Jika Menghidap 36 Penyakit Kritikal
ii) Perlindungan 36 penyakit kritikal RM30,000.00
iii) Perlindungan Penyakit Khas Wanita RM10,000.00*
iv) Perlindungan Komplikasi Kehamilan: RM10,000.00*
v) Elaun Kelahiran Bayi: RM100.00 (Maks. 3 Kelahiran)
vi) Elaun Pemeriksaan Kesihatan Wanita Tahunan : RM100.00 setahun*
vii) Elaun Harian Hospital Khas Akibat Komplikasi Kehamilan: RM200.00 sehari (Maks. 7 Hari)
viii) Elaun Harian Hospital:  RM100.00 sehari
ix) Elaun Pembedahan RM3000.00

Jangkaan Manfaat Simpanan : RM54,604 (Pada umur 65 tahun dengan kadar keuntungan 9%)

Medical Card:

Had Tahunan: RM100,000.00
Had Seumur Hidup: RM300,000.00
Khairat Kematian: RM5000
Kelayakkan Bilik Harian: Bilik RM200 sehari
Tiada Ko-Takaful 10% (Jika menggunakan manfaat sedia ada)

Di atas adalah contoh sebut harga pelan takaful yang yang emel kepada prospek pelanggan. Setiap sebut harga biasanya berbeza bergantung kepada maklumat diri yang diberi seperti jantina, umur, pekerjaan dan status merokok. Di dalam industri takaful / insurans, faktor umur memainkan faktor penting dalam menentukan jumlah caruman yang perlu dibayar. Lagi tinggi umur maka lagi tinggilah caruman yang perlu dibayar.

Jika kita lihat pelan takaful di atas, manfaat yang paling atas sekali adalah manfaat kematian dan hilang upaya kekal. Dua manfaat ini bolehlah dikatakan manfaat yang wajib ada bagi setiap pelan takaful hayat. Ini kerana sesuatu pelan takaful hayat berdiri di atas dua jenis manfaat ini. Kedua-dua manfaat ini ada kalanya disebut sebagai ‘sum covered’ atau jumlah yang dilindungi. Maka kalau ikut pelan di atas, ‘sum covered’ nya ialah RM100,000.00.

Manfaat kematian ialah di mana jika berlaku kematian terhadap peserta takaful, waris peserta akan menerima sejumlah wang untuk mereka meneruskan kehidupan selepas ketiadaan peserta. Menjadi kebiasaan semasa proses pendaftaran, peserta akan diminta mengisi borang penama untuk menamakan waris penerima wang pampasan takaful ini. Tetapi harus diingat, penama hanya sekadar penama sahaja. Dia tidak berhak 100% terhadap wang pampasan tersebut. Dia perlu membahagikan mengikut hukum faraid kepada waris-waris peserta.

Penyelesaian kepada masalah ini ialah mewariskan wang pampasan tersebut menerusi hibah. MAA Takaful menyediakan borang hibah bagi tujuan ini. Hibah bermaksud pemberian di mana waris akan dapat terus duit pampasan tersebut tanpa memerlukan ia dibahagi-bahagikan mengikut kaedah faraid. Namun pelaksanaan pemberian pampasan sama ada menerusi penama atau hibah bergantung kepada situsi peserta.

Manfaat hilang upaya kekal pula akan melayakkan peserta takaful menerima sejumlah pampasan jika peserta disahkan hilang upaya secara kekal. Hilang upaya bukan hanya lumpuh seluruh badan secara kekal, tetapi juga termasuk kehilangan anggota-anggota penting badan secara kekal seperti tangan dan kaki.

Selain dari manfaat di atas, manfaat-manfaat lain yang disenaraikan selepas itu adalah manfaat tambahan. Bila kita kata tambahan, ia hanyalah merupakan tambahan kepada manfaat asas iaitu kematian dan hilang upaya kekal. Manfaat tambahan juga dikenali sebagai ‘rider’. Mungkin ada yang beranggapan manfaat-manfaat tambahan ini wajib ada di dalam mana-mana pelan takaful. Tetapi anggapan ini salah kerana selain dari manfaat kematian dan hilang upaya kekal, ianya hanyalah pilihan (optional). Bakal peserta boleh memilih apa manfaat tambahan yang diinginkan berdasarkan keperluan.

Biasanya, jika anda meminta sebut harga takaful, sudah menjadi kelaziman ejen-ejen takaful akan letakkan sekali dengan pelbagai manfaat tambahan. Namun anda boleh meminta untuk membuang atau mengurangkan mana-mana rider atau manfaat tambahan yang anda rasakan tidak perlu.

Jika pelan yang dicadangkan adalah pelan takaful berasaskan pelaburan yang biasanya dikenali sebagai Takafulink, satu perkara yang anda perlu tahu ialah setiap rider mempunyai caj-caj yang tersendiri. Caj-caj ini dikenali sebagai caj takaful atau caj tabarru’. Caj-caj ini akan dikenakan terhadap akaun pelaburan / simpanan setiap peserta takaful. Lagi banyak rider yang ditambah, lagi tinggi caj tabarru’ yang perlu dibayar. Kalau anda menginginkan nilai simpanan atau pelaburan anda tinggi semasa anda ingin bersara nanti, elakkan meletakkan banyak rider di dalam pelan takaful anda. Jika tidak, wang simpanan anda akan semakin berkurangan kerana akan ditolak bagi membayar caj-caj tabarru’ ini. Caj-caj tabarru’ ini akan meningkat mengikut umur peserta dan caj tabarru’ yang terbesar sekali datangnya dari kad perubatan jika kad perubatan dijadikan sebagai rider.

Jika anda mengambil pelan takaful yang menjadikan kad perubatan sebagai rider, secara umumnya nilai simpanan akan terjejas kerana terpaksa menampung caj kad perubatan kerana caj atau bayaran kad perubatan ini akan meningkat mengikut umur anda. Ini bagi mengekalkan jumlah caruman yang perlu dibayar bagi mengelakkan kenaikan caruman. Namun begitu, tiada jaminan bayaran caruman boleh kekal selamanya kerana nilai simpanan bergantung sepenuhnya kepada prestasi pelaburan semasa. Jika ketika itu prestasi pelaburan kurang memuaskan, anda perlu menambah jumlah caruman anda bagi menampung pembayaran caj-caj tabarru’ ini dan mengelakkan polisi menjadi batal.

Bagi mengelakkan masalah ini, cara yang terbaik ialah mengambil pelan kad perubatan di dalam polisi yang berlainan dan anda akan membayar kad perubatan berasingan dari pelan Takafulink. Ini bagi mengelakkan caj-caj kad perubatan ‘memakan’ lebih nilai simpanan anda. Namun begitu, ini semua bergantung kepada keperluan anda. Minta ejen anda nasihatkan apa yang terbaik buat anda.

Selain itu, jika anda mengambil banyak rider di dalam pelan takaful anda, ini boleh mengurangkan nilai perlindungan asas kematian dan hilang upaya kekal. Adalah tidak cukup berbaloi jika anda bayar sehingga Rm200 sebulan tetapi hanya mendapat perlindungan asas kurang dari RM50,000.00. Cuba pastikan anda mendapat nilai perlindungan asas setinggi yang boleh tanpa menjejaskan nilai simpanan anda. Anda perlu ingat, dengan nilai perlindungan asas inilah yang akan digunakan waris untuk teruskan kehidupan selepas ketiadaan kita. Situasi paling teruk jika kita disahkan hilang upaya kekal dan tidak lagi mampu bekerja. Dengan wang pampasan inilah harapan kita untuk teruskan kehidupan dalam keadaan yang tidak upaya. Jadi semasa menilai sebut harga yang diperolehi, cuba bandingkan nilai perlindungan asas ini. Jika syarikat M boleh berikan RM100,000.00 dan syarikat P hanya berikan RM50,000.00 dengan caruman anda sebanyak RM160 sebulan dan dengan manfaat tambahan yang hampir sama, rasanya anda tahu syarikat mana tawarkan perlindungan yang terbaik.

Mungkin ada yang bertanya, apa rider yang perlu ada di dalam pelan takaful. Di sini saya senaraikan rider-rider yang biasa saya cadangkan kepada bakal peserta:

  1. Pengecualian caruman jika berlaku salah satu dari 36 penyakit kritikal
  2. Pampasan 36 penyakit kritikal
  3. Perlindungan kemalangan
  4. Elaun harian hospital dan pembedahan
  5. Kad perubatan (boleh diambil di dalam polisi berasingan dengan MAA Takaful)

Setiap rider di atas mempunyai nilai perlindungan atau sum covered yang tersendiri. Sebagai contoh, pampasan penyakit kritikal boleh diperoleh sehingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada caruman peserta. Begitu juga dengan rider-rider yang lain. Seperti mana yang saya katakan tadi, setiap rider ada caj masing-masing. Lagi tinggi nilai perlindungan rider, lagi tinggi caj yang perlu dibayar.

Jika anda meminta sebut harga dari saya, saya akan berikan berpadanan dengan nilai caruman yang diberi dan saya akan cuba pastikan anda akan dapat sejumlah simpanan pada hari tua nanti.  Saya rasa ramai yang membandingkan sebut harga yang saya cadangkan dengan sebut harga dari syarikat-syarikat lain. Mungkin ada yang bertanya kenapa syarikat P boleh bagi elaun hospital sampai Rm400 sehari sedangkan Ejen MAA Takaful Azizi Zulkefli hanya bagi Rm100 sehari sahaja. Jawapannya adalah kerana caj-caj tabarru’ tadi. Betul, syarikat P boleh bagi sampai Rm400 sehari untuk elaun hospital tetapi berapa yang anda perlu bayar untuk caj tabarru’ bagi rider tersebut. Adakah menjadi keperluan untuk dapat sampai Rm400 sehari kalau masuk hospital. Mungkin akan ada yang katakan perlu ada juga yang tidak. Semua bergantung kepada keperluan masing-masing.

Saya harap artikel ini dapat memberi kefahaman asas semasa anda menilai sebut-sebut harga yang anda peroleh dari ejen-ejen takaful. Jika anda tak faham, hubungi mereka minta mereka jelaskan. Anda boleh hubungi saya jika anda perlukan penjelasan terhadap sebut harga yang saya berikan. Ini penting untuk anda betul-betul faham apa manfaat yang anda perolehi dari pelan takaful yang anda sertai.


Komen (6)

salam,,,sya nak tanya,,sistem takaful,sekiranya seseorang itu hendak menarik diri,,adaskah dya boleh menarik semua modal nya,,termasuk 1000 yg ptt ada dalam ekaun..terimakasih

sy dah reply jwpn sy ke emel tuan

sgt bgus penerangan tuan..byk prkara yg sya tau..tq

sama-sama. tujuan saya adalah untuk memberi kefahaman kepada umum dari segi teknikal berkenaan takaful

salam bro,nk mntak quotation..details discuss kt email yg sy sertakan

Saya dah emel tuan

Tulis komen anda

CommentLuv badge